Wednesday, September 23, 2009

PERUTUSAN HARI RAYA YANG DIPERTUA KPIPM


Assalamu'alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)

Hari Raya ‘Idul Fitri 1430 Hijrah, telah jatuh pada 20 September 2009. Hakikat hari raya ini jarang dipraktikkan oleh sebilangan besar manusia di dunia ini, khususnya ahli KPIPM sendiri. Ketika di hari raya, kita akan mengamalkan amalan ziarah menziarahi sahabat-sahabat. Namun, apabila berlalunya hari pertama Syawal ini, amalan tersebut terus ditinggalkan, dan kesan ziarah tersebut akan dilupakan setelah sehari berlalu.

Sekiranya hari ini kita menziarahi rumah sahabat handai, esok hari, apabila berlaku sesuatu yang kurang senang, kita kembali bermasam muka. Kita jarang sekali mempraktikkan amalan berlapang dada, dan lebih suka dengan istilah “keras kepala” yang tidak dianjurkan oleh Islam.

Di dalam kita menyambut hari raya ini, perkara yang paling utama adalah “ukhuwah”, dan inilah yang diperjuangkan oleh KPIPM selama ini. KPIPM bukanlah ditubuhkan untuk berpecah belah, atau menyusahkan orang lain, tetapi ia adalah sebuah “keluarga” yang menyatukan ahli-ahlinya. Ia juga adalah sebuah saluran untuk memudahkan kita dalam menjadikan ahli-ahli keluarga ini saling faham memahami, dan mengelakkan pertelagahan sesama adik beradik.

Malang sekali, apabila seorang ayah meletakkan peraturan untuk dipatuhi oleh anak-anaknya, peraturan tersebut sengaja dilanggar. Peranan ayah adalah untuk menjaga ahli keluarganya dalam segenap aspek. Dari segi pendidikan, tarbiah, kefahaman, ukhuwah, keterampilan dan sebagainya. Namun, berapa ramaikah anak-anak yang menjalankan peranan mereka sebagai anak? Mereka lebih suka menyifatkan ayah mereka itu kurang memahami, dan membuat peraturan yang tidak “serasi” dengan kehendak “diri”nya yang bersifat peribadi.

Sahabat-sahabat yang dikasihi oleh Allah.

Pada hari raya kali ini, KPIPM mengadakan program-program langsung dan tidak langsung, bertujuan mengeratkan hubungan adik beradik ini. Di hari raya juga, kita mengalunkan takbir membesarkan Allah SWT. Oleh itu, kita perlu ingat, dan tanam di dalam diri kita bahawa hubungan adik beradik kita ini haruslah ditunjangi oleh pegangan terhadap al Quran dan Sunnah.

Kita patut mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kerana Dialah yang menyatukan kita sehingga tertubuhnya KPIPM ini. KPIPM ini ditubuhkan atas dasar al Quran dan Sunnah, dan inilah yang menjadi pegangan kita. Kenapakah kita sengaja mencari titik perpecahan sedangkan kita ini sama-sama pendakwah? Kita ini juga sama-sama berpegang dengan Tauhid yang satu? Kenapakah titik perpecahan itu juga yang dicari dan diperbesarkan?

Janganlah kita digolongkan sebagai golongan yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah SWT, yang telah menyatukan kita di bawah bumbung KPIPM, yang masih bertegas dan berpegang dengan al Quran dan Sunnah. KPIPM ini bukanlah milik saya. Ia milik semua. Peraturan dan etika yang ditetapkan langsung tidak memberi “pulangan lebih” pada diri saya. Tetapi ia adalah manfaat untuk semua ahli.

Tidak layak bagi seseorang untuk menyebut “kita” bagi mewakili diri peribadinya sendiri. KPIPM adalah kepunyaan “kita”, yang menjaga kepentingan semua. Inilah yang diajar oleh Allah SWT sendiri supaya kita tidak melaungkan perpecahan dengan kerana perkara yang remeh, dan bersifat peribadi. Selama ini kita masih dapat bertegas dengan al Quran dan Sunnah, demi menjaga KPIPM, maka hendaklah kita bersyukur dengan nikmat ini.

Di kesempatan ini, ingin saya ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua ahli KPIPM khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Semoga dengan kedatangan Hari Raya Idul Fitri 1430 Hijrah ini, dapat membentuk diri kita yang lebih cemerlang dari semalam, dan kefahaman yang lebih baik dari semalam.

KHAIRUL ASYRAF BIN MOHD KHIR
Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
Sesi 2009/2010