Saturday, May 2, 2009

BELAJAR DARIPADA KESILAPAN, BUKAN MENGULANGI KESILAPAN SESUDAH BELAJAR

Musim peperiksaan telah pun tiba. Masing-masing dilihat bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran. Kami di pihak AJKT mengucapkan “Selamat Menghadapi Peperiksaan”. Namun, disebalik perkataan “peperiksaan”, terlintas di dalam pemikiran kita tentang ayat ini,

“Belajar daripada kesilapan, bukan mengulangi kesilapan sesudah belajar”

Ayat ini sedikit sebanyak menyentuh tentang persoalan “kesilapan”. Kesilapan ini biasa dilakukan oleh mereka yang tidak tahu, atau belum belajar, atau belum berpengalaman. Mereka yang mempunyai salah satu daripada tiga ciri ini, kerap melakukan kesilapan.

Tetapi, adakah ia wajar berlaku pada diri kita? Kita adalah orang yang sudah melalui musim pembelajaran yang lama. Kita juga sudah dikatakan berpengalaman tentang situasi peperiksaan. Apatah lagi Program Senat Fakulti yang saban tahun dilaksanakan. Tetapi, mengapa kita masih lagi mengulangi kesilapan yang sama?

Sebagai seorang mahasiswa kita sepatutnya menjadikan kesilapan itu sebagai pengajaran untuk masa akan datang. Seringkali kita memandang ke belakang dengan alasan ingin mempelajari daripada kesilapan, sedangkan pandangan yang perlu dihalatujukan ialah hadapan.

Pengajaran buat kita ialah, jangan pandang belakang. Sekiranya kita sudah sampai ke destinasi yang hendak dituju, dipersilakanlah pandang ke belakang supaya dapat dijadikan sebagai koreksi dan muhasabah. Oleh itu, saya menasihat kepada semua, terutamanya ahli KPIPM supaya dapat membina persepsi baru untuk menaiki tangga kejayaan.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009