Saturday, May 2, 2009

JANGAN JADIKAN PEPERIKSAAN SEBAGAI MIMPI NGERI

Setiap kali musim peperiksaan tiba, ramai di kalangan sahabat-sahabat kita yang merasainya seperti sebuah mimpi ngeri. Namun, tanggapan ini akan menjadikan seseorang itu berfikiran negatif sebelum melangkah masuk ke medan peperiksaan. Saya menasihatkan kepada semua sahabat, terutamanya ahli KPIPM sendiri supaya menjadikan musim peperiksaan sebagai satu ruang masa untuk mengasah ilmu.

Kita telah menerima jutaan input sebelum ini, dan hari ini kita sedang memprosesnya. Kita akan menghasilkan output pada hari peperiksaan nanti. Oleh itu, jadikanlah ruang waktu pemprosesan data ini sebagai satu ruang untuk menjadikan ilmu yang dipelajari tajam.

Sekiranya dalam masa pemprosesan ini dijalankan, kita hanya berfikiran negatif, maka kesannya ialah ia akan menghasilkan output yang negatif. Inilah yang kita harap supaya dijauhkan.

Umpama sebuah mesin basuh, yang dimasukkan ke dalamnya baju yang kotor. Lalu ia memproses dan menghasilkan pakaian yang bersih. Sekiranya kita memasukkan kotoran ketika pemprosesan itu berjalan, maka ia akan menambahkan lagi kotoran pada baju. Oleh itu, janganlah kita tambahkan ketumpulan ilmu ketika pemprosesan ilmu ini berjalan.

Sepatutnya kita menjadikan tempoh ini sebagai mimpi yang gembira. Kita sepatutnya bergembira kerana kita sudahpun menerima ilmu selama beberapa bulan untuk semester ini. Kita sepatutnya bergembira kerana sudah menerima banyak ilmu, dan kita perlu mengasahnya supaya kita dapat menghasilkan sebuah kefahaman yang mantap.

Oleh itu, tukarkanlah mimpi ngeri tersebut menjadi sebuah kehidupan realiti yang menyeronokkan. Kita sepatutnya seronok bergelar orang yang pandai.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009