Saturday, June 27, 2009

HAPUSKAN KASTA DI DALAM PEMIKIRAN KITA


Kasta adalah satu bentuk pemikiran yang bercanggah dengan Islam. Kewujudan pemikiran ini bermula di dalam Agama Hindu, yang membezakan martabat kemuliaan manusia berdasarkan keturunan. Kasta telah memberikan kemuliaan kepada mereka yang berketurunan Brahma. Manakala mereka yang berketurunan Paria, diletakkan sebagai martabat yang terbawah.

Sesiapa yang lahir dalam keturunan Brahma dianggap mulia. Begitu juga anak Paria, akan mewarisi martabat ayahnya yang terbawah itu. Inilah pemikiran songsang yang sangat ditegah oleh Islam. Namun, pemikiran songsang ini, kadangkala kita sendiri terpengaruh dengannya, walaupun tidak disengajakan.

Antara pemikiran kasta yang telah merebak di dalam pemikiran sebahagian sahabat kita ialah, membezakan di antara kedudukan exco dan ahli biasa. Ataupun membezakan di antara kedudukan kepimpinan dan ahli biasa. Pemikiran ini hasil terpengaruhnya dengan erti "kasta" secara tidak sengaja.

Di dalam Islam, martabat kemuliaan seseorang bukanlah dibezakan dengan pangkat, bukan juga dengan harta kekayaan. Namun, apa yang dibezakan oleh Islam ialah amalan. Amalan ini diertikan juga sebagai ketaqwaan. Iaitu yang membezakan manusia dengan manusia yang lain ialah ketaqwaan mereka ini.

Selain itu, martabat kemuliaan juga diukur dengan ilmu. Tidak dinafikan, sesama kita juga terdapat mereka yang lebih berilmu daripada kita. Bahkan, kita disuruh menghormati sesama kita kerana kita tidak mengetahui tahap keilmuan seseorang. Mungkin orang lain lebih tinggi ilmunya berbanding kita. Maka, kita perlulah menghormati semua orang, kerana berkemungkinan ilmunya lebih tinggi.

Begitu juga amalan. Kita juga disuruh menghormati semua orang kerana berkemungkinan amalan orang lain lebih banyak berbanding kita. Inilah ukuran martabat kemuliaan di dalam Islam. Iaitu dari segi ilmu, dan amalan.

Namun, ilmu tanpa amalan adalah sia-sia. Amalan tanpa ilmu binasa. Maka, mereka yang mempunyai ilmu, perlulah beramal dengan ilmu yang ada. Namun, apa gunanya amalan sekiranya tidak ikhlas? Maka, ikhlas dalam amalan yang berdasarkan ilmu itu adalah yang termulia.

Kita bukannya tahu keikhlasan hati seseorang. Bahkan, ilmu dan amalan seseorang pun kita tidak pernah tahu ukurannya. Maka, apa yang disuruh oleh Islam ialah menghormati semua orang. Hormatilah sesama kita kerana kita tidak tahu martabat seseorang di sisi Allah.

Jangan bezakan manusia dengan kedudukannya sebagai exco. Juga jangan bezakan kedudukan seseorang kerana keturunan. Tetapi ukurlah berdasarkan ilmu, amal dan keikhlasannya. Demikian juga tiada perbezaan kemuliaan di antara Mahasiswa Perubatan dan Dirasah, melainkan dari sudut ilmu, amalan dan ikhlas.

Sekiranya mahasiswa perubatan lebih tinggi ilmu, amal dan ikhlasnya, maka dialah yang lebih mulia disisi Allah. Begitu juga sebaliknya. MAka hormatilah semua orang. Buang keegoan yang merajai diri. Jangan terpengaruh dengan "kasta" yang dicanang oleh pemikiran bukan Islam.


Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
Sesi 2008/2009