Wednesday, June 24, 2009

JANGAN SIA-SIAKAN ILMU YANG ADA


Ilmu dan amal adalah dua perkara yang penting. Ia umpama irama dan lagu. Langsung tidak boleh dipisahkan. Tetapi malangnya, kadangkala kita terlupa mengenainya secara tidak sengaja. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, manakala amalan tanpa ilmu binasa. Memang ramai orang yang boleh pergi bertalaqqi, tetapi sangat sedikit yang boleh mengamalkan ilmu yang dimilikinya.

Apakah yang dikatakan sebagai tidak mengamalkan ilmu yang ada? Adakah sekiranya kita sudah pandai mendirikan Solat Dhuha, kita wajib melaksanakannya? Adakah sekiranya kita sudah tahu kelebihan qiamullail, bermakna kita wajib melaksanakannya?

.
Apa yang dikehendaki daripada ilmu hanyalah amalan, dan ilmu itu adalah petunjuk amalan (amalan itu dalil adanya ilmu seseorang)

Amalan-amalan tersebut kekal dengan hukumnya sebagai sunat. Tetapi adakah kita tidak mahu kelebihan amalan-amalan tersebut? Kita sudah tahu kelebihan, dan galakan terhadapnya, sangat rugilah kita membiarkannya begitu sahaja.

Contohnya yang lain, kita sudah tahu mengumpat itu adalah haram, tetapi kita payah untuk menahan lidah daripada mengumpat. Kita sudah tahu bahawa syaitan lebih mudah untuk menyesatkan manusia yang keseorangan, tetapi kita lebih suka berseorang diri daripada bercampur dan bersama dengan masyarakat Azhar yang lain.

Kadangkala, kita rajin berqiamullail, tetapi tidak pernah terlintas di hati kita untuk mengejut sahabat kita berqiamullail bersama. Bahkan, kita biarkannya sehingga dia tidak sempat solat subuh berjemaah di Masjid. Kita rajin bertalaqqi, tetapi sangat rugilah sekiranya kita biarkan sahabat sebilik kita sengaja menghabiskan masanya begitu sahaja. Ajaklah bersama. Manfaat itu untuk kita juga.

Perkara yang wajib disampaikan, akan menjadi dosa sekiranya kita melakukannya. Seperti kita membiarkan sahabat kita terlepas waktu solat kerana tertidur. Maka bertindaklah untuk mengejutnya. Manakala perkara yang sunat atau digalakkan, menjadi pahala bagi kita sekiranya kita melakukannya. Maka, sangat rugilah bagi mereka yang tidak mahu merebut peluang ini.

Ramai orang mampu menuntut ilmu, tetapi beberapa sahaja dikalangan mereka yang beramal dengannya. Ramai manusia tahu bahawa syaitan itu mudah untuk merosakkan manusia yang keseorangan, tetapi ramai manusia yang lebih suka berseorang diri daripada bercampur dengan masyarakan Azhar.

Ramai manusia yang mengetahui kelebihan bersedekah, tetapi beberapa sahaja yang sanggup membantu sahabatnya yang kesusahan. Benarlah sepertimana kata-kata Imam Ghazali :


.
“Mendapatkan ilmu itu lebih mudah bagiku berbanding dengan beramal dengannya”

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
Sesi 2008,2009