Wednesday, June 17, 2009

BERTALAQQI ADALAH KELEBIHAN KITA



Universiti di dunia ini terlalu banyak. Negara di dunia ini juga banyak. Tetapi, setiap negara tersebut pasti terdapat kehebatannya yang tertentu. Arab Saudi hebat dengan wujudnya Mekah. Mesir pula hebat dengan kewujudan Universiti al Azhar. Mekah adalah kiblat bagi semua orang di dunia untuk mengerjakan solat. Tetapi, kiblat ilmu adalah Mesir.

Inilah ungkapa yang telah disebut oleh Syeikh Soleh Ja’fari, seorang ulama’ al Azhar yang cukup masyhur. Beliau bukanlah berbangsa Mesir, tetapi beliau mengakui bahawa Mesir adalah kiblat ilmu. Bahkan al Azhar itulah “kaabah” ilmu. Kelebihan inilah yang tiada di tempat lain. Sangat rugi bagi mereka yang tidak dapat menjejakkan kaki ke sini, tetapi lebih rugi sekiranya mereka yang sudah berada di sini, tidak dapat menjejakkan ke al Azhar.

Universiti yang tertua di dunia ini telah mencatat nama yang sungguh hebat. Syeikh Usamah al Azhari pernah memberi sedikit pesanan kepada anak-anak muridnya, “Ketika aku berada di Asia, aku sempat bertalaqqi dengan beberapa orang Tok Guru lepasan al Azhar (yang bukan berbangsa Arab). Mereka adalah generasi yang dicipta oleh al Azhar. Maka, kamu hendaklah menghidupkan kembali watak mereka ini”….

Inilah kefahaman daripada tuturnya, yang suka untuk saya nukilkan di sini. Di Malaysia, walaupun terdapat tohmahan yang mendakwa bahawa mahasiswa al Azhar lemah, lembik dan sebagainya adalah ukuran yang tidak sempurna. Mereka hanya mengukur sebahagian yang kecil, berbanding jutaan yang lain.

“Sudah selesai peperiksaan, tunggu apa lagi? Pergilah bertalaqqi…”

Saya mengajak kepada semua supaya menghidupkan suasana bertalaqqi ini. Ia tidak mungkin sama seperti di Malaysia. Inilah kelebihan Mesir. Sekiranya tiada al Azhar, di manakah nama Mesir? Maka, hidupkanlah talaqqi ini. Jangan bazirkan masa dengan benda yang tidak berfaedah. Isi kekosongan dengan bertalaqqi dan menelaah ilmu yang luas ini.

Talaqqi di sini terlalu banyak. Antaranya di Masjid al Azhar, siang dan malam, Mudhoyafah Syeikh Ismail ‘Adawi, Jabal Muqattam bersama Syeikh Yusri, Iskandariah bersama Syeikh Ibrahim al Kattani, rumah-rumah anak negeri, dan DPM-DPM. Bahkan PMRAM sendiri mensasarkan supaya dikerapkan daurah bersama Syeikh-syeikh. Insya Allah.

JULANG THAQAFAH, BAKTI DICURAH

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009