Monday, June 15, 2009

BELAJAR BERSYUKUR DENGAN NIKMAT BERPERSATUAN

Menghargai sesuatu nikmat kurniaan Allah sangat dituntut oleh agama, lebih-lebih lagi kenikmatan, kesenangan dan kebahagian itu memandu diri kita ke arah jalan yang diredhai Allah. Dalam berjuta manusia di muka bumi Allah, adakah semua mengucapkan syukur setiap kali merasai kesenangan? Tetapi ramai di kalangan mereka tidak menyedari bahawa diri mereka alpa dan leka.

Paling menyedihkan lagi ialah diuji oleh Allah dengan sebesar-besar ujian iaitu kufur dengan nikmat. Seperti terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud :

“Jika kamu bersyukur dengan nikmatku nescaya akan ku tambah nikmat kepadamu sekiranya kamu kufur maka nantilah azab aku yang sangat pedih”

Sesungguhnya telah jelas kepada kita konsep syukur yang dituntut oleh agama. Bukan hanya sekadar merasai kenikmatan semata-mata, tetapi mestilah dilafazkan dan dibuktikan, sebagai tanda menghargai sesuatu pemberian daripada Penciptanya. Rasulullah SAW merupakan manusia yang paling ikhlas syukurnya ke hadrat Allah SWT walaupun dijanjikan dengan balasan syurga, sesuai dengan sifat maksumnya.

Disebut di dalam hadis Aisyah RA : Bahawasanya Nabi saw sentiasa bangun untuk solat malam sehinggakan bengkak kedua kakinya, kemudian Aisyah bertanya kepadanya: “ Wahai Rasulullah kenapa kamu berbuat seperti itu sedangkan Allah telah mengampuni segala dosamu baik dosa yang telah lampau maupun dosa yang akan datang?.” Baginda SAW menjawab: “ Apakah tidak seharusnya aku menjadi hamba yang bersyukur”.

Namun kelemahan kita sebagai ummat Islam, ialah selalu membandingkan pemberian itu samada banyak ataupun sedikit. Ketika dalam kesusahan dan kesenangan, ketika dalam sihat dan sakit atau seumpama dengannya. Walhal ia tidak pula diukur dengan berapa banyak kita telah kecapi, sedangkan kita hidup di dunia ini sudah cukup sempurna untuk membuktikan kesyukuran itu selayaknya kepada Allah SWT.

Menyentuh sedikit tentang kenikmatan persatuan yang kita kecapi, masih ramai diantara kita yang tidak menggunakan cara dengan sebaiknya. Mengapa orang terdahulu beriya benar mewujudkan persatuan ketika zaman mereka dahulu? Adakah zaman kita hari ini tidak memerlukan wadah perjuangan yang diimpikan oleh golongan terdahulu?. Ataupun tidak releven untuk diteruskan ke hari ini?.

Bagi menjelaskan situasi hari ini, kurangnya ahli melibatkan diri dalam persatuan berbanding zaman terdahulu. Menjelaskan keadaan di sini bukanlah hendak menghentam mana-mana pihak tetapi melihatkan perkembangan yang berlaku tidak boleh di pertikaikan kesahihannya.

Mengimbas tujuan orang terdahulu datang ke bumi Mesir menuntut ilmu. Mereka hidup dalam keadaan jerih perih dari segi perbelanjaan, tidak ada autoriti untuk menyuarakan pandangan persatuan atau kelompok. Namun mereka merasakan keperluan mewujudkan satu persatuan yang bukan hanya menyalurkan kebajikan semata-mata tetapi mahukan sumbangan yang boleh diberi samada ilmu dan idea.

Namun kita kerap terlupa dengan nikmat yang telah Allah kurniakan ini. Kita tidak bersungguh untuk memelihara persatuan tatkala hidup kita dikelilingi oleh kesenangan yang melimpah ruah. Kita hanya berpersatuan untuk menerima kebajikan semata-mata, tetapi tidak sedikitpun membantu dari segi sumbangan dan sebagainya.

Kadang kala tindakan kita keterlaluan sehingga sanggup membiarkan orang lain dalam kesusahan. Dalam keadaan persatuan bermasalah, kita menjadi orang yang handal mereka-reka cerita dan menokok tambah masalah, bukan mencari penyelesaian masalah. Paling menyedihkan lagi, masih ada yang seronok dengan kucar-kacir yang dibuatnya sendiri.

Adakah ini tujuan KPIPM dan PMRAM di tubuhkan? Sekadar mana keprihatinan kita kepada persatuan dan sahabat-sahabat lain. Mampukah kita menjawab di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak?

Sabda Rasululllah SAW: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya lebih dari mengasihi dirinya sendiri”.

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama memahami tujuan sebenar kita berpersatuan. Janganlah kita hanya ingin memungut keuntungan dan kepentingan peribadi daripada persatuan semata-mata. Sedangkan tanggungjawab kita terhadap persatuan lebih banyak dari itu. Janganlah kita menjadi seorang yang meninggalkan persatuan kerana merasa persatuan tidak memberi sebarang kepentingan untuk memuaskan peribadi kita. Bersyukurlah dengan nikmat persatuan ini.

Hanif bin Musa
Timbalan Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
Sesi 2008/2009