Friday, June 12, 2009

KPIPM ADALAH SATU-SATUNYA PERSATUAN ANAK PERAK YANG BERAUTORITI


KPIPM adalah persatuan yang bernaung di bawah empat organisasi. Iaitu Kerajaan Negeri Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk), Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

KPIPM telah bernaung di bawah Kerajaan Perak, MAIAMPk dan PMRAM seawal penubuhan pada Tahun 1964. Manakala pendaftaran KPIPM dengan JPMK pada tahun 2005.

Perkara utama yang suka untuk saya sebutkan di sini ialah, KPIPM adalah satu-satunya persatuan anak Perak yang berada di Mesir. Bahkan, KPIPM telah diiktiraf sebagai sebuah persatuan yang bernaung di bawah empat organisasi yang telah disebutkan sebelum ini.

Maka, setiap mahasiswa atau sesiapa sahaja yang berada di Mesir ini, tidak perlu meragui kedudukan KPIPM. KPIPM bukanlah persatuan haram, bukan juga persatuan yang membentuk kepada penentang dan sebagainya. Bahkan KPIPM adalah satu-satunya persatuan anak Perak di Mesir yang sah.

Kadangkala, saya menerima laporan bahawa beberapa mahasiswa tidak dibenarkan berdaftar di bawah KPIPM. Ini kerana mereka terikat dengan beberapa perjanjian yang telah ditandatangani. Hakikatnya, sepertimana yang telah disebutkan, KPIPM bukanlah persatuan haram.

Bahkan, persatuan anak Perak di Mesir ini, hanya KPIPM sahaja. Penubuhan sebarang persatuan anak Perak nombor 2, hanyalah bertujuan memecahbelahkan KPIPM. Contoh apa yang terjadi kebelakangan ini. KPIPM menerima laporan tentang kehadiran mahasiswa Perak yang datang secara persendirian (bukan di bawah MAIAMPk), dan tidak berdaftar di bawah KPIPM.

Bahkan mereka juga tidak mengikuti sebarang program KPIPM, dan langsung tidak melibatkan diri dengan KPIPM. Perkara ini amat dikesali kerana ia hanya menyusahkan diri mereka sendiri, dan KPIPM. Sekiranya terdapat masalah yang timbul, tiada siapa yang dapat bertanggungjawab terhadap mereka.

Saya menasihati kepada semua ibu bapa yang berada di Malaysia, supaya memastikan anak-anak mereka yang datang ke Mesir, melalui MAIAMPk. Saya sendiri tidak mengesyorkan pendatang secara persendirian, kerana keselamatan mereka tidak dapat dijamin.

Tambahan pula, KPIPM bernaung di bawah JPMK yang berada di bawah Kerajaan Malaysia sendiri. Ini dapat memastikan ahli KPIPM mendapat bantuan atau kebajikan yang sepatutnya.

KPIPM juga bernaung di bawah PMRAM, yang berfungsi sebagai NGO Kerajaan Mesir. Maka, keselamatan ahli KPIPM di Mesir dapat dijaga dengan adanya PMRAM. Sekiranya terdapat beberapa golongan yang enggan berdaftar, atau tidak melibatkan diri dengan KPIPM, maka keselamatan dan kedudukan mereka di Mesir bukanlah tanggungjawab KPIPM.

Maka, kesimpulan yang boleh dibuat ialah, KPIPM bukan sahaja menjaga kebajikan ahli yang menjadi perantara dengan kerajaan Negeri Perak dan MAIAMPk, bahkan bertanggungjawab terhadap keselamatan ahli dengan terbentuknya hubungan KPIPM dan PMRAM.


Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009