Friday, July 17, 2009

BILA LAGI HENDAK JENGUK KELUARGA DI KAMPUNG HALAMAN?


Program Perkampungan Tok Sagor yang mempunyai tujuan dan objektif yang besar, tidak boleh dikatakan sebagai sebuah program yang sia-sia atau tiada sebarang tujuan. Kesedaran ini sepatutnya wajar bagi mereka yang bergelar sebagai seorang yang berilmu.

Di manakah yang dikatakan bahawa ia sebagai sebuah program yang besar? Apakah sumbangan program ini dalam peningkatan thaqafah ahli? Kedua-dua persoalan ini biasa sahaja ditanya, dan sedikit penjelasan bagi mereka di sini.

Tok Sagor dikatakan sebagai sebuah program yang besar dengan melihat kepada sebuah perumpamaan keluarga yang membuat perjumpaan tetap. Contohnya anak-anak Perak yang berada di muhafazah, akan menyedari bahawa mereka akan kembali ke pangkuan ibu bapanya yang berada di kampung.

Apabila masing-masing pulang ke kampung menjenguk ibu bapa, sudah pasti timbulnya satu kesatuan, dan mengimbau kembali sejuta kenangan keluarga.

Ya, sesebuah keluarga pastinya akan bertemu, dan saling berharap agar dapat bertemu di satu waktu yang tetap bersama adik-beradik lain yang sudah berumahtangga. Kadangkala Hari Raya dijadikan waktu untuk kembali ke kampung halaman, kadangkala ketika cuti sekolah dan sebagainya.

Alhamdulillah, KPIPM mengadakan sambutan Hari Raya sebagai simbolik kepulangan anak-anak ke kampung halaman. Begitu juga cuti sekolah. Hari ini kita berada dalam waktu cuti sekolah, dan Tok Sagor merupakan simbolik kepulangan semua anak-anak kembali ke kampung halaman di waktu cuti sekolah ini.

Cuba kita bayangkan, apakah perasaan seseorang ibu atau bapa, apabila anaknya yang berada di bandar, tidak ingin pulang ke kampung halaman? Apakah perasaan mereka apabila anak-anaknya lebih suka hidup sendiri dan melupakan kenangan manis bersama keluarganya? Maka, fikirlah sendiri wahai manusia yang berakal.

Bahkan, sangat sedih apabila melihat anaknya yang berada di daerah yang sama, berhampiran dengan kampung halaman, tetapi tidak pulang ke kampung walaupun hari cuti. Kekesalan ini haruslah disedari.

Selain itu, terdapat juga yang bertanya, apakah sumbangan program ini dalam peningkatan thaqafah ahli? Maka, suka untuk saya jelaskan di sini ialah, setiap ahli keluarga terdapat perbezaan pengajian dan kelulusan. Kadangkala si abang lepasan U, sedangkan adiknya sudah berhenti sekolah, dan sebagainya.

Maka, adakah disebabkan perbezaan ini, si abang perlu meninggalkan adiknya? Atau adiknya sudah tidak menganggap itu adalah abangnya? Thaqafah adalah satu perkara penting, tetapi apa gunanya thaqafah tanpa kesedaran tentang kekeluargaan?

Sama sahaja. Kelas tafaqquh yang diadakan juga kadangkala tidak mendapat sambutan. Tidak perlulah beralasan bahawa Tok Sagor itu sekadar membazir masa. Hakikatnya kedua-dua elemen, bahkan lebih, yang diterapkan oleh KPIPM.

Di dalam meningkatkan hubungan kekeluargaan, KPIPM mengadakan Tok Sagor. Di dalam meningkatkan didikan terhadap anak-anak, KPIPM mengadakan pengajian tafaqquh. Di dalam meningkatkan kecemerlangan anak-anak, KPIPM mengadakan kelas tutorial.

Maka, janganlah anda bahawa Tok Sagor adalah satu program yang sia-sia. Bahkan, ia adalah salah satu program penting yang mengikat hubungan kekeluarga ini. Janganlah anda merobek keluarga ini dengan menjaga kepentingan sendiri. Abang-abang lain pun bekerja juga, mereka sempat untuk kembali ke kampung. Tetapi kita pula beralasan dengan bermacam-macam alasan untuk tidak hadir menjenguk kampung halaman ini...

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009