Saturday, August 15, 2009

JANGAN MENDABIK DADA DENGAN REZEKI YANG SEMENTARA


Alhamdulillah, beberapa keputusan peperiksaan telah disiarkan. Di sana, ada yang dimurahkan rezekinya oleh Allah SWT, dan ada juga yang rezekinya ditangguhkan sementara.

wahai penuntut ilmu, nasihat yang ingin saya berikan ialah, janganlah anda mendabik dada dengan menyatakan bahawa anda lah yang berusaha segala-galanya untuk mendapatkan kejayaan tersebut. Ramai dikalangan orang yang tergolong dalam golongan ini berkata,

"Lihatlah aku, walaupun aku ini berperangai jahat, aku tetap lulus peperiksaan.."

"Apa gunanya berpersatuan sehingga keputusan peperiksaan merosot.."

"Lihatlah aku ini, aku telah berusaha untuk mendapatkan kejayaan ini..."

Semua ini adalah bentuk seseorang yang lupakan diri sendiri. Ketika mereka dalam kesusahan menghadapi peperiksaan, mereka mengerjakan solat hajat, berdoa, dan berbuat baik kepada sahabat-sahabat yang lain. Akan tetapi, mereka terlupa. Setelah kejayaan tersebut diberikan, mereka mengatakan bahawa disebabkan usaha merekalah, mereka memperolehi kejayaan.

Layakkah seseorang penuntut ilmu berkata demikian? Wahai orang yang lulus dalam peperiksaan, janganlah kita mendabik dada dengan rezeki yang sementara. Sekiranya rezeki ini ditarik oleh Allah SWT kelak, apakah lagi hujah mu?

Jangan menduduh orang yang tidak berjaya itu sebagai golongan yang malas, tidak pergi ke kuliah dan sebagainya. Ini kerana kejayaan tersebut adalah rezeki daripada Allah SWT. Penuntut ilmu tidak pernah diajar dengan keangkuhan, sebaliknya mereka dididik dengan rendah diri, dan menghormati orang lain.

"Semoga kita mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.."

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009