Friday, May 29, 2009

KAEDAH MEMBERI PANDANGAN DAN CADANGAN MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM

Dr Abdul Karim Zaidan telah menyebut di dalam karangannya, Usul ad Dakwah, memperincikan tentang batasan dan disiplin dalam mengemukakan pandangan atau cadangan kepada pemimpin. Beliau menyebut :

“Hak individu dalam mengemukakan pandangan mereka tentang urusan pemimpin, mempunyai batasan dan disiplin tertentu :

Pertama

Orang yang ingin mengemukakan pandangan tersebut hendaklah bertujuan memberi nasihat yang sebenarnya kepada pemimpin.

Telah disebutkan di dalam Hadis Shahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Baginda SAW bersabda :
.
“Agama itu adalah nasihat”. Kami bertanya : “Untuk siapakah nasihat tersebut?”, Baginda SAW menjawab : “Nasihat untuk Allah, KitabNya, rasulNya, pemimpin orang Islam dan semuanya”

Maka, tidak dibenarkan bagi individu dalam memberi nasihat tentang urusan pemerintahan, bertujuan untuk mempopularkan diri sendiri, menampakkan keburukan mereka (pimpinan), merendahkan mereka, menyebabkan orang lain memperkecilkan mereka, atau yang sama sepertinya, yang merupakan tujuan-tujuan yang salah, juga tidak bertujuan kerana Allah SWT. Bukan bertujuan menambahkan kebaikan kepada orang yang dinasihati, dan bukan juga kepentingan untuk manusia.”

* Orang yang ingin mengemukakan pandangan mestilah mempunyai niat yang murni untuk membantu persatuan dan bersama-sama mendapat faedah daripada pandangan tersebut.

Kedua

Pandangan seseorang tentang urusan pemerintahan hendaklah berdasarkan ilmu dan kefahaman yang mendalam. Maka, tidak dibenarkan melanggar keputusan mereka (pimpinan), atau merendahkan mereka, tentang perkara ijtihad (keputusan pimpinan tentang sesuatu perkara yang tiada nas), kerana pandangan individu tersebut bukanlah menjadi keutamaan berbanding pandangan pimpinan selagi mana ia adalah perkara yang berbentuk ijtihad.”

* Orang yang ingin mengemukakan pandangan hendaklah berdasarkan ilmu dan kefahaman, dan sebarang keputusan oleh pimpinan haruslah diterima samada pandangan orang tersebut diterima atau ditolak

Ketiga

Tidak dibenarkan kepada individu yang mengemukakan pandangan tersebut, mereka-reka fitnah, dan membentuk percanggahan dengan menggunakan pandangan tersebut terhadap pimpinan, apabila pandangan tersebut tidak diterima oleh pimpinan selagi mana perkara yang dibincangkan tersebut mempunyai kemungkinan pandangannya betul, atau pandangan orang lain lebih betul.”

* Tidak dibenarkan kepada mana-mana individu mencetuskan fitnah apabila pandangannya diterima atau ditolak.

Saya berharap agar semua ahli KPIPM, termasuk saya sendiri dapat memahami dan mengamalkan beberapa kaedah dan disiplin yang disusun oleh Islam. Semoga persatuan dan kesatuan kita dapat diteruskan dengan baik.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009