Monday, May 11, 2009

KRONOLOGI DUA RUMAH PERAK

Sedikit kronologi tentang pembinaan dan pembelian Rumah Perak yang ingin dikongsi bersama. Pada sesi lepas, ketika Us Ahmad Arifin bin Zakariya memegang jawatan sebagai Yang Dipertua. Pada Bulan Mac, Mufti Perak, Dato Seri Harussani bin Zakaria telah mengadakan lawatan ke Mesir. Di kesempatan itu, Ahli Jawatankuasa Tadbir telah mengadakan perjumpaan dengan beliau.

Di dalam perbincangan tersebut, beliau telah menyuarakan keinginannya untuk merealisasikan harapan anak-anak perak di sini iaitu menyelesaikan isu Rumah Perak. Isu Rumah Perak ini telah sekian lama cuba diselesaikan dan akhirnya harapan semakin cerah dengan kehadiran beliau ketika ini.

Setelah berlalu beberapa peringkat perbincangan di peringkat MAIAMPk, keputusan yang diberikan kepada pihak KPIPM ialah untuk membeli sebuah bangunan dan mengubahsuai bangunan yang sedia ada. Susulan daripada keputusan ini, pihak MAIAMPk telah menghantar wakil Jabatan Kerjaraya Perak untuk menyelia urusan ini di Mesir.

Pada permulaan sesi 2008/2009, ketika permulaan saya memegang jawatan sebagai YDP, kehadiran Wakil JKR, Ir Amir, yang datang buat kali kedua, selepas kedatangannya kali pertama pada sesi sebelum ini. Beliau datang untuk menyelia terus dengan pihak syarikat dan persatuan untuk menyelesaikan perkara ini.

Kehadirannya telah memperincikan beberapa perkara, antaranya urusan dengan pihak syarikat sendiri dan pihak kedutaan. Pihak persatuan dimaklumkan oleh beliau bahawa proses pemindahan rumah perlu diadakan segera. Beliau juga memaklumkan bahawa sebarang maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa.

Pada Bulan November, pihak persatuan telah dimaklumkan supaya mengosongkan Wisma Darul Ridzuan, dan pihak syarikat telah menyediakan penempatan sementara. Proses pemindahan telah dijalankan dalam masa sekitar 2 minggu, untuk menyempurnakan segalanya. Setelah selesai pemindahan, dan beberapa urusan berkaitan, YDP telah memberi beberapa taklimat yang berkaitan.

Alhamdulillah, Sambutan Aidil Adha berjaya dilaksanakan di Rumah Sementara tersebut. Segala bantuan dan kerjasama dari semua ahli sangat dihargai. Sehingga hari ini, proses pembaikan kedua-dua rumah perak ini masih dijalankan dan dijangka akan siap pada Bulan Julai.

Dalam pada itu, pada pertengahan Mac 2009, Yang Dipertua KPIPM sempat mengadakan pertemuan ringkas bersama Dato' Syeikh Mohd Nor Mansur al Hafiz, Pengarah JAIPk di Malaysia. Beliau telah memberitahu kehadirannya ke Mesir pada akhir Mac untuk menyambung kontrak bersama syarikat.

Pada akhir Mac, beliau telah tiba di Mesir dan sempat mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama mahasiswa Perak di Mesir. Kehadirannya itu bertujuan meneruskan proses pembaikpulihan dan menjelaskan kepada persatuan tentang beberapa perkara berkaitan dengan proses tersebut. Proses pembinaan ini masih diteruskan sehingga hari ini.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Yang Dipertua

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
Sesi 2008/2009